Jumat, 15 Oktober 2010

PERMATA AKHIR ZAMAN 3/5 SUDAH KUTEMUI


Seperti hari-hari biasa, saya menjalani rutin harian sebagai seorang penuntut ilmu.Melihat jam di handset sudah hampir masuk waktu zohor.Jika dinilai dari segi sifat kemanusian seperti insan-insan lain sudah semestinya perut terasa lapar."emm.. pergi makan dulu lah"bisik hatiku.
Setelah selesai makan tengahari saya bergegas ke Masjid.Lepas solat ni ada tiga kuliah perlu dihadiri lagi tetapi tidak mengapa kerana otak yang dianugerahkan ini tidaklah sepenat tulang empat -kerat ayah dan ibu membesarkan saya demi mencari rezaki yang halal jika nak dibandingkan penatnya seorang penuntut ilmu.

Selesai sahaja solat Zohor kelihatan sahabat yang juga merupakan sheikh(guru) kepada saya menuju ke arah saya seolah-olah ada sesuatu yang ingin disampaikan.Beliau ialah Anas Zhohir Masri seorang warga Palestin (calon Master Ekonomi dan Perbankan Islam).
Kami berdua terlalu rapat sehinggakan dimana ada Ulama’ di situlah kami bertandang bersama. "Engkau nak pergi jumpa Sheikh Yusuf Al-qaradhawi ??" dia membisik ke telinga saya.
"betul ke ni" aku menjawab perlahan.
"betullah tapi kena bersiap sekarang" katanya lagi.
" Tapi saya ada kelas pukul 2 petang nanti’ jawabku tanda kesal.
"Tidak mengapa ponteng sekali,lagipun ada sebab" beliau memberikan cadangan.’baiklah saya akan pergi"jawabku berbelah bahagi.

Kami bergerak menaiki Coaster(bas kecil) menuju ke Ibu Negeri Jordan yang mengambil masa sekitar 1jam setengah untuk sampai Terminal Tabarboo di Amman(Jordan).
Setelah Sampai, kami bergegas pula menaiki teksi menuju ke Hotel Le Royal dimana Mu’tamar Persekitaran Dalam Islam Sedunia berlangsung selama 3 hari mulai 27-29 September 2010.
Mu’tamar itu dihadiri oleh ulama-ulama islam seluruh dunia meliputi hampir 40 negara keseluruhannya.
Setelah masuk ke hotel itu’tiba-tiba kami disekat oleh pegawai bertugas yang mengendalikan hal-ehwal kelicinan Mu’tamar .Rupa-rupanya kehadiran hanyalah untuk tetamu kehormat sahaja yang dibenarkan masuk ke dewan mu’tamar.Tapi ALLAH pengatur segala-galanya,setelah beberapa minit berbincang sesama mereka akhirnya mereka membenarkan kami masuk ke dalam dewan mu’tamar dengan syarat tidak membuat bising dan tidak turut serta dalam perbincangan.
Kami bersyukur tidak terhingga kepada ALLAH yang mengatur segalanya.
Kami dimaklumkan bahawa Sheikh Yusuf Al-qaradhwi telahpun membentangkan hujjah dan pandangannya pada sesi sebelah pagi tadi.
Terlihat tanda kekesalan di wajah Anas kerana beliau tidak dapat bertemu dengannya.
Namun kami masih terus berdoa agar Sheikh Yusuf Al-qaradhwi turut menyertai perbincangan di dalam mu’tamar itu.
Beberapa minit kemudian kelihatan Sheikh professor Dr.wahbah Zuhaili masuk ke dewan.Ya ALLAH segalanya Engkau aturkan untuk kami bertemu dengannya.Beliau merupakan lima daripada ulama Dunia yang Ingin Saya temui sebelum ALLAH memanggil saya buat selama-lamanya.

Sheikh Al-muhaddis Al-allamah Shuib Al-arnouth(pakar hadis yang tidak asing lagi di dunia Islam) telah kutemui dan mengambil manfaat ilmu darinya.
Sheikh Professor Mufassir Al-allamah Dr.solah Abdul Fattah Al-khalidi(jika tidak salah boleh saya katakan seorang Mujaddid dan Mufassir dibidang Tafsir).InsyaALLAH Semester terakhir nanti pada sesi sebelah petangnya saya akan mengambil manfaat ilmu darinya.
Sheikh Al-faqih wa Usuliyyen professor Dr.wahbah Al-zuhaili (sumbangan yang besar kepada dunia islam di bidang Tafsir,Fiqh dan Usul ) yang berada di depan mata saya sekarang.
Sheikh Al-allamah Al-faqih professor Dr-yusuf Al-qaradhawi(seorang Alim di bidang Fiqh,Hadis dan lain-lain yang disegani kawan dan lawan di dunia Islam).
Sheikh Al-alamah faqih Ramadhan Saeed Al-buthi(Alim di bidang fiqh dan sirah juga terkenal di dunia islam).
Tiga daripadanya telah kutemui dan insyaALLAH mengambil manfaat daripada mereka dengan sisa berbaki beberapa bulan sebelum pulang ke tanah air.
Setelah beberapa minit pembentangan dimulakan, kelihatan sahabat kepada Anas yang bernama Hamid (calon Master Ekonomi dan perbankan Islam)turut masuk ke dewan.
Sebaik sahaja duduk tiba-tiba beliau didatangi pegawai tadi dan diarahkan segera keluar daripada dewan.
Bermacam alasan diberikan Hamid pegawai tetap bekeras supaya Hamid keluar.Namun akhirnya Hamid mengalah lalu keluar dari dewan Mutamar.
Riak wajah Dr.wahbah Zuhaili yang bengis itu menandakan dia seorang Ulama yang benar-benar serius.Saya melambaikan tangan ke arahnya yang disambut dengan lambaian dan senyuman diukir ke arah saya.Rupa-rupanya Dr.Wahbah Zuhaili seorang yang peramah dan mudah mesra.

Tiga puluh minit sebelum mu’tamar berakhir kelihatan seorang yang juga amat saya kagumi mula masuk ke dewan.Beliau yang saya maksudkan ialah Al-allamah Mufti Maulana Taqi Usthmani(ketua Ahli Majma Fiqh ekonomi islam seDunia).Saya amat bersyukur kepada ALLAH kerana mempertemukan dengannya.
Antara Ulama-ulama yang juga turut menghadiri Mu’tamar itu ialah Dr.salman Audah,Dr Ali Jumaah,Mufti kerajaan Jordan dan lain-lain lagi ulama' seluruh dunia.
Selepas mu’tamar berakhir,kami pergi menemui Dr.wahbah Zuhaili,Maulana Taqi Usthmani dan Ulama-ulama lain.
Juga tidak melepaskan peluang meminta nasihat dan bergambar dengan mereka.Ketinggian budi dan Akhlak mereka sungguh mulia.
Saya juga terjumpa seorang sheikh yang bernama Dr.Hassan Saqqaf dan beliau mempelawa saya datang menziarahi beliau ke rumahnya.
Semoga ALLAH sentiasa memelihara Ulama-ulama Islam dan melenyapkan Ulama-ulama Dajjal dari dunia ini.

YA ALLAH BERIKAN KAMI ILMU DAN JADIKANLAH ILMU ITU UNTUK KAMI TUNDUK KEPADAMU

Yang Faqir kepada Pengampunan ALLAH
Wallahu ‘alam

Rabu, 18 Agustus 2010

TAFSIR MAJMA’ BAYAN OLEH AL-TOBARSI DAN SATU PENILAIAN ILMIAH KEATASNYA



Riwayat hidup penulis secara ringkas:

Dia adalah Abu Ali bin Fadhal bin Hasan bin Fadhal Al-tobarsi,seorang yang ‘Alim,Mufassir, Faqih,Muhaddis,Siqqah.Dia merupakan keturunan Ahli Bait.Dia telah menyiapkan penulisan tafsirnya pada petengahan bulan Zulhijjah tahun 534 hijrah.

Manhaj penulisan tafsir Majma’ Al-bayan:

1).Mengketegorikan Ayat Makiyyah dan Madaniyyah.
2).Menyatakan Kekhilafan pada bilangan ayat.
3).Mengemukan setiap perselisihan Qiraat pada setiap ayat.

4).Terdapat juga perbahasan dari aspek bahasa Arab.


Sekali pandang tidak ada apa-apa yang bertentangan dengan Aqidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah berkenaan dengan tafsir ini akan tetapi ada beberapa kekeliruan:

1).Penulis terkesan dengan pandangan Syiah.

2).Mengemukan juga pada tafsirnya pandangan-pandangan Mu’tazilah.

3).Banyak mengemukan pendapat yang sering menyelisihi Jumhur Ulama.

4).Meriwayatkan banyak hadis Maudu’(palsu).

5).Terdapat banyak riwayat Israiliyyat.


Beberapa contoh kekeliruan tafsir ini:

1).Mengi’tiraf keimaman Saidina Ali selepas Rasulullah Salallah ‘Alahi Wasallam.

Ketika mentafsirkan ayat 55 surah Al-maidah Firman ALLAH:”SESUNGGUHNYA PENOLONGMU ADALAH ALLAH,RASUL-NYA,DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN,YANG MELAKSANAKAN SOLAT DAN YANG MENUNAIKAN ZAKAT,KEMUDIAN TUNDUK KEPADA ALLAH”.

Al-tobarsi menyatakan dalam tafsirnya pada juzuk ke 2 muka surat 128: “Ayat ini secara jelas menyatakan keimaman Saidina Ali selepas Rasulullah Salallah Alaihi wasallam tanpa perlu perincian”
Hal ini secara jelas bertentangan dengan apa yang ditafsirkan oleh Ahlu Sunnah Seperti Imam At-thobari dalam Tafsirnya pada jilid 10 muka Surat 425 menyatakan:” kami mengatakan Ayat ini turun kepada Saidina Ali bin Abi Thalib dan dia merupakan kalangan orang yang beriman” .

Jelas penyelewengan yang dilakukan oleh Ahli Ta’wil yang mengikut hawa nafsu bertentangan dengan Ahlu Sunnah,memang ada beberapa riwayat berkaitan dengan ayat ini diturunkan Kepada Saidina Ali tetapi tidak pula menyatakan Keimamannya bahkan riwayatnya Dhaif dan Maudu’ seperti dinyatakan Imam Ibnu Ma’in dan kebanyakan perawinya Mungkarul Hadis dan Matrukul Hadis.
Al-allamah Muhaddis Sheikh Ahmad Muhammad Syakir pada juzuk 10 muka surat 426 dalam Tafsir At-thobari yang ditahqiqnya Menyatakan”Semua periwayatan Asar(hadis) ini semuanya tidak boleh dijadikan hujjah dalam Agama.


2).Menyatakan I’smah Aimmah(Imam-imam mereka suci daripada dosa).

Ketika mentafsirkan Ayat 33 surah Al-ahzab ALLAH befirman:”SESUNGGUHNYA ALLAH BERMAKSUD HENDAK MENGHILANG DOSA DARIPADA KAMU WAHAI KELUARGA RASULULLAH DAN MEMBERSIHKAN KAMU SEBERSIH-BERSIHNYA” .

Al-tobarsi menyatakan:”sesungguhnya Imam-imam kami bersih daripada dosa dan segala keburukan seperti para nabi terdahulu”
Hal ini juga tidak sepatutnya ditafsirkan sedemikian rupa.Memang benar Imam Tirmizi membawakan hadis Hasan Shahih pada nombor 3742 menyatakan sebab ayat diturunkan kepada 5 orang yaitu Rasulullah Salallah ‘Alaihi wasallam,Saidina Ali,Saidatina Fatimah,Saidina Hasan Dan Husain.Akan tetapi, tidak ada satupun kitab tafsir Ahli Sunnah mentafsirkan bahawa menghilang dosa pada ayat ini kemaksuman(bebas dari dosa) Imam-imam dari kalangan Ahli Bait.Sesungguhnya kemaksuman itu hanya diberikan ALLAH kepada para Anbiya’.

3).Prinsip Taqiyyah(berpura-pura).

Ketika mentafsirkan Ayat 28 Surah Ali-‘Imran Allah befirman:”JANGANLAH ORANG-ORANG BERIMAN MENJADIKAN ORANG KAFIR SEBAGAI PEMIMPIN,MELAINKAN ORANG-ORANG BERIMAN,BARANGSIAPA YANG BERBUAT DEMIKIAN,NESCAYA DIA TIDAK MEMPEROLEHI APA-APAPUN DARI ALLAH,KECUALI KERANA TERPAKSA MENJAGA DIRI KERANA SESUATU YANG KAMU TAKUTI DARIPADA MEREKA”
At-tobarsi menyatakan bahawa ayat ini membolehkan berpura-pura demi kepentingan menyampaikan dakyah mereka(Syiah).

Padahal di dalam Agama Islam cuma diboleh berpura-pura ketika darurat untuk menjaga Agama Seperti harus mengucapkan kata kufur pada lidah sedangkan hati kekal beriman di saat ingin dibunuh oleh orang kafir.Itupun dalam keadaan dipaksa.

Contoh Kitab-kitab Tafsir yang perlu dijauhi:

1).Tafsir Hassan Al-a’skari yang meninggal pada tahun 245 yang tidak sempat dihabiskan,namun telah dicetak satu jilid oleh Darul Kutub Mesriyyah.

2).Tafsir Muhammad bin Sa’ud atau dikenali sebagai Tafsir I’yasyi ditulis pada kurun ke 3 hijrah.Ia merupakan tafsir utama Syiah akan tetapi tidak dicetak.

3).Tafsir ‘Ali bin Ibrahim Al-Qumi yang hidup pada Akhir kurun ke 3 hijrah dan awal kurun ke 4 hijrah.Tafsir ini merupakan ringkasan yang banyak bergantung kepada pendapat Syiah.Dicetak dalam bentuk satu jilid yang besar oleh Darul Kutub Mesriyyah.

4).Tafsir AL-tibyan oleh Al-thusi yang meninggal pada tahun 460 hijrah.Al-tobarsi banyak menukilkan banyak pendapat dalam Tafsir ini ke dalam dalam tafsirnya.Dikhabarkan sebanyak 12 jilid namun tidak dicetak.

5).Tafsir AS-shafi oleh Muhammad bin Murtadha hidup pada kurun ke 11 hijrah.Dicetak sebanyak satu jilid oleh Darul Kutub Mesriyyah.Ringkasannya oleh penulis yang sama yaitu tafsir Al-asfa yang dicetak oleh Maktabah Jami’ah Mesriyyah.

6).Tafsir Al-burhan oleh Hisyam bin Sulaiman bin Ismail meninggal pada tahun 1108 hijrah.Dicetak dua jilid oleh Darul Kutub Mesriyyah.

Dan banyak lagi kitab Tafsir Syiah yang kebanyakkan dicetak seperti :Mar’ah Al-anwar wa Misykat Al-asrar oleh Abdul lattif Kazarani,Al-muallif oleh Murthado Al-hasani,Bayan Sa’dah fi Maqamat ‘ibadah Oleh Sulthan bin Muhammad dan Ala Ar-rahman fi Tafsir Al-quran oleh Muhammada jawad bin Hasan.

P/S: Berhati-hatilah kita dalam memilih rujukan atau membeli kitab-kitab kerana jika tersilap, boleh merosakkan Aqidah dan kefahaman Islam yang Suci Ini.Segala isi kandungan di dalam artikel kali ini adalah hasil perbincangan di dalam kelas bersama sheikh Dr.Abdullah Al-juyusi yang merupakan anak murid kepada Al-allamah Mufassir professor Sheikh Dr Fadhal Hassan ‘Abbas.Beliau merupakan Pakar Tafsir di Universiti Yarmouk. Segala kesilapan harap mendapat teguran secara ilmiah agar saya boleh merujuk semula kepada Beliau InsyaALLAH…

Yang Faqir kepada Pengampunan ALLAH



Selasa, 17 Agustus 2010

SYARAH HADIS TENTANG ASAS UTAMA PEMBATALAN AQAD DALAM FIQH MUA’MALAT



عبد الله بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما .قال : قال رسولُ الله - صلى الله عليه وسلم
«لا يَحِلُّ سَلَفٌ وبَيْعٌ ، ولا شَرْطَان في بيع ، ولا رِبْحُ ما لم يُضْمَن ، ولا بيعُ ما ليس عندك»
Maksudnya : Daripada Abdullah bin Amru bin Al-‘as Radiyallahu Anhuma berkata: telah berkata Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam: (TIDAK DIHALALKAN MEMINTA PINJAMAN DARIPADA PEMBELI DAN MENJUALKAN BARANG KEPADANYA,TIDAK DIHALALKAN DUA SYARAT PADA SEBARANG PENJUALAN,TIDAK DIHALALKAN MEMPEROLEHI UNTUNG YANG TIDAK DIJAMIN,TIDAK DIHALALKAN MENJUAL SESUATU YANG TIDAK WUJUD DISISI ENGKAU)

(Hadis Hasan Shahih:Diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud nombor hadis(3504),Imam An-nasai nombor hadis(288 pada jilid ke 7),Imam Tirmizi nombor hadis (1234),Imam Ibnu Majjah nombor hadis(2188),Imam Ahmad nombor hadis(174,179,205 pada jilid ke 2),Imam Al-hakim nombor Hadis (17 jilid ke 2).Al-allamah Muhaddis Sheikh Muhammad Nasaruddin Al-albani berdasarkan kajiannya Tahqiqnya dalam kitab Shahih dan Dhaif Sunan Imam Tirmizi pada juzuk 3 muka surat 234 menyatakan: Hadis Ini Hasan Shahih.Al-allamah Muhaddis Sheikh Shuib Al-arnouth berdasarkan kajiannya Ta’liqnya dalam Kitab Musnad Imam Ahmad Pada Juzuk 2 Muka Surat 178 Menyatakan:Sanad Hadis ini Hasan).


1).TIDAK DIHALALKAN MEMINTA PINJAMAN DARIPADA PEMBELI DAN MENJUALKAN BARANG KEPADANYA

Contoh:
a).Ali membeli sebuah Televisyen daripada Ahmad dengan harga RM 500,akan tetapi Ali meminta supaya Ahmad memberikan pinjaman kepadanya sebanyak RM 100 pada barang yang dijualkan kepadanya kepada Ahmad.Hal Ini membatalkan Aqad jual beli kerana telah gugurnya sebahagian harga yang perlu dibayar oleh Ali kepada Ahmad dan terjadinya kekeliruan kepada barang dan lebihan harga yang perlu dibayar.

Berlaku juga hal sedemikian dalam Jual beli Salam(tempahan).
b).Ali menjual kepada Ahmad sebuah motosikal dengan Harga RM 2000, akan tetapi Ali meminta Ahmad membuatkan sebuah meja kepadanya.Hal ini juga Membatalkan Aqad kerana terjadinya kekeliruan pada kos pembuatan meja atau berlakunya tambahan (riba) pembayaran terhadap Harga asal motosikal.

Pinjaman mempunyai Syarat tertentu,Jual-beli membeli syarat tertentu,dan Tempahan juga mempunyai syarat tertentu.Tidak boleh Berlakunya kekeliruan terhadap syarat-syarat yang telah ditetapkan dengan kesepakatan Ulama atau berlakunya beberapa transaksi dalam satu Aqad kerana hal ini boleh membatalkan jual-beli.


2).TIDAK DIHALALKAN DUA SYARAT PADA SEBARANG PENJUALAN
Contoh:
Hal ini lebih dikenali sebagai berlakunya dua transaksi dalam satu Aqad yang jelas dilarang oleh Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam di dalam Hadis Yang Shahih.

a).Ali membeli sebuah Kerpet daripada seorang penjual Karpet berbangsa Pakistan yang datang ke rumahnya.Penjual itu menyatakan bahawa jika Ali membeli Karpet itu pada hari ini(cash) maka harganya ialah RM 1000 dan jika Ali membelinya dengan ansuran maka harganya menjadi RM 1500.Maka Ali membeli Karpet itu tanpa menyatakan pilihan sama ada bayar cash atau ansuran sambil menyatakan kepada Penjual itu"Jika saya ada duit maka saya akan bayar lebih dan jika tiada saya akan bayar sedikit mengikut pendapatan bulanan saya".Maka penjual itu menerimanya.

Jual-beli ini jelas tidak disyariatkan dengan kesepakatan Ijma Fuqaha kerana terdapat dua transaksi(harga) dalam satu jualan tanpa menyatakan sebarang pilihan harga.Lebih-lebih lagi telah terdapat larangan daripada Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam.


3). TIDAK DIHALALKAN MEMPEROLEHI UNTUNG YANG TIDAK DIJAMIN

Contoh:
a). Seorang pekerja syarikat menjualkan saham milik majikannya,lalu pekerja itu mengambil untung daripada hasil jual saham itu.

Hal ini jelas diharamkan Syara’ kerana mana mungkin terjadinya untung tanpa modal,jaminan,dan kerja.Maka untung itu sewajibnya menjadi milik majikan kerana dia yang mengeluarkan modal,menjamin untung atau rugi,dan bekerja untuk memperolehi keuntungan.Dalam Qaedah Usul fiqh menyatakan (Al-kharaj Bil dhoman ) dan (Alghunmu bil gharmi) .secara umumnya setiap sesuatu hasil yang ingin diperolehi mesti selari dengan permulaanya.

4). TIDAK DIHALALKAN MENJUAL SESUATU YANG TIDAK WUJUD DISISI ENGKAU

Contoh:
a).Ali pergi ke sebuah kedai runcit untuk membeli seguni beras tetapi malangnya beras itu telah kehabisan,akan tetapi penjual kedai runcit itu berkata”kalau begitu engkau tunggu di sini dan aku akan belikan untuk engkau seguni beras di kedai lain”.Pejual membeli seguni beras itu dengan modalnya dengan Harga RM 55 lebih tinggi daripada harga yang dijual oleh penjual.lalu dia membawakan seguni beras itu kepada Ali.

Hal ini terbatalnya aqad kerana telah berlaku kekeliruan(Gharar) dan penindasan(Zalim) Atau tiada Keredhaan terhadap kedua-dua belah pihak.Ali tidak melihat beras itu kecuali setelah dibeli oleh penjual dari kedai lain dan dibawakan kepadanya.Bagaimana jika Ali tidak jadi membeli seguni beras itu kerana mungkin disebabkan kualiti atau jenis beras itu tidak disukainya?.Bagaimana jika Ali tidak mahu membeli seguni beras dengan lebih mahal daripada harga biasa yang dijual oleh penjual?.Disebab itulah Syarak’ melarang jual-beli sesuatu yang tidak ada disisi penjual.

Hal ini juga jelas berlaku dalam praktikal jual beli hutang yang juga jelas dilarang Syara’ juga Kesepakatan Ijma’ulama.

b).Sebagai contoh Syarikat A menjual hutangnya kepada syarikat B dengan Harga RM 100000,lalu Syarikat B membeli Hutang Itu.



P/s: Contoh-contoh terkini yang saya cuba bawakan ini telah diolah daripada contoh-contoh lama yang banyak terdapat di dalam syarah Kitab-kitab Hadis seperti Tuhfatu Awazi syarah Sunan Imam Tirmizi,Aunul Ma’bud Syarah Sunan Abu Dawud,Syarah Imam Syuyuthi Dan Ta’liq Imam As-sindee terhadap Sunan An-nasai,Ta’liq Imam Syuyuthi kepada Sunan Ibnu Majjah dan Lain-lain Kitab.Sebarang kecacatan dalam penyalinan dan penterjemahan Harap dimaafkan dan mendapat teguran secara Ilmiah daripada sahabat.InsyaALLAH.
Yang Faqir kepada Pengampunan ALLAH.

Minggu, 15 Agustus 2010

LAINAJUFAH SANG PURDAH BIRU PART (5)

“Cepatlah Maria kita dah lewat ni”Ummi bersuara.”baik Ummi”jawab Maria.”kita pergi jalan kaki ke Ummi?” Maria menyoal lagi.” Abi hantar naik kereta nanti”Ummi menjawab perlahan.
ha! dah siap Ummi,Maria?".Abi mencelah.”dah Abi”jawab Ummi dan Maria serentak.”em.. kalau begitu mari Abi hantarkan”Abi mempelawa.
Hari ini merupakan Ramadhan yang ke-15 dan juga hari pertama Ustazah Lainajufah mengajar di Masjid.Setelah sampai di Masjid kami mendapati ramai wanita daripada golongan para ibu, remaja dan kelihatan beberapa orang Ustazah yang juga menyertainya.Kalau dihitung secara rawak mungkin juga mencapai dua ratus orang.

”Ramainya yang hadir Ummi”Maria bersuara.”Mestilah… kelas ni kan merupakan kali pertama diadakan di kampung kita secara besar-besaran,lagipun yang mengajar nanti bukan sebarangan orang”.Ummi menjawab.

“Assalamualaikum kepada semua para ibu,sahabat-sahabat handai,dan semua yang hadir ke majlis ini.Alhamdulillah kita dapat bersama-sama mengisi program ramadhan dengan Majlis Ilmu yang lebih tepat saya katakan perbincangan permasalah wanita.Sebelum kita memulakan majlis yang mulia ini,ingin saya memperkenalkan diri saya terlebih dahulu”.

"Nama saya Lainajufah binti Idris,Dilahirkan pada tanggal 4 haribulan 11 tahun 1987.Setelah tamat darjah enam saya dibawa ke Madinah Munawarah oleh bapa saudara yang berniaga disana.Alhamdulillah saya dapat menimba ilmu daripada Ulama-ulama di bumi Nabi yang diberkati. Saya menyambung Ijazah di Universiti Islam Madinah melalui biasiswa dengan mendapat pangkat Mumtaz(cemerlang)".
"Cukup rasanya sekadar itu saya memperkenalkan diri saya InsyaALLAH".

Namun masih ada beberapa persoalan yang bersarang di fikiran Maria,

Macam manalah rupa paras Ustazah ni di sebalik purdahnya itu?

Siapa Guru-guru Ustazah di Sana?

Mengikut pengetahuan Maria kalau wanita ingin menyambung pelajaran di Universiti Islam Madinah diwajibkan ada mahram.Kalau begitu mesti ustazah ni dah Kahwin.Macam-macam persoalan timbul di fikiran Maria.

Lamunan Maria yang penuh dengan bermacam persoalan tiba-tiba tersentak.

Baiklah kitab yang berada di di tangan hadirat sekelian adalah kitab yang saya akan gunakan sepanjang perbincangan kita.InsyaALLAH jika diizinkan ALLAH kita akan Habiskan sebelum hari raya menjelang tiba. saya ringkaskan dan terjemahkan menjadi satu jilid daripada berberapa kitab antaranya":

1).Jami, Ahkam Nissa oleh Sheikh Mustafa Al-adawee,

2).Mufassal fi Ahkam Nissa wal bait Muslim Oleh sheikh Abdul Kareem Zaidan,

3).Fatwa Imraa Muslimah oleh kumpulan Ulama di Mekah.
“Juga kitab-kitab Utama empat Mazhab turut saya gunakan”.Ustazah memberi penjelasan.

Jauh di sudut hati Maria berkata-berkata “Ya ALLAH kitab yang membuat hatiku tersentuh untuk mengenakan Purdah digunakan sebagai rujukan utama oleh Ustazah Lainajufah iaitu kitab Jami, Ahkam Nissa oleh pakar Tafsir dan Hadis sheikh Mustafa Al-adawee yang merupakan Ulama Sunnah Mesir dan juga Guru kepada abang Akram".
“Sebagai permulaan majlis kita Ingin saya tegaskan bahawa Ikhlas dan mengamalkan ilmu merupakan sesuatu yang amat penting".
Imam Ibnu Kasthir membawa riwayat daripada Abu darda’ ketika mentafsirkan ayat 27 daripada Surah Al-Maidah,

“SESUNGGUHNYA ALLAH AKAN MENERIMA AMALAN DARIPADA ORANG-ORANG YANG BERTAQWA”

Abu Darda’ berkata:”Sesungguhnya jika ALLAH menerima satu solat daripadaku maka ia membahagiakan aku daripada dunia dan seisinya”.

“Bukan senang untuk ALLAH menerima sebarang amalan jika bukan dengan keikhlasan”.
“Begitu juga disebut oleh Imam Ibnu Mubarak dalam mengariskan enam prinsip penuntut ilmu diantaranya ialah mengamalkan ilmu”.
Ustazah menambah.

“Sewaktu saya ingin menghadiri kuliah di Universiti pada suatu hari, seorang makcik datang kepada saya menanyakan beberapa soalan yang menbuatkan air mata saya mengalir tanpa disedari”.ustazah mula menceritakan pengalamannya.

Mungkin kita sebagai penuntut ilmu mampu menjawab":
Apa hukum meletakkan tangan di atas dada ketika solat?
Atau hukum turun lutut dahulu ketika solat?
Atau hukum menggerakan jari ketika solat?
Apa beza mafhum mukhalafah dan mafhum muwafaqah dari aspek usul fiqh?
Apa beza tafsir Al-Isyari dan penerimaan Ulama tafsir?
Apa hukum hadis ini dhaif atau shahih jika ianya diriwayatkan secara Mursal oleh Tabieen besar?
Apa hukum begitu dan begini mungkin boleh kita jawab beserta dalil dan pendapat Ulama’sekitarnya ?’

Akan tetapi Makcik itu bertanya pada saya soalan yang tidak pernah terlintas di fikiran saya katanya :
wahai anakku apakah batal solat makcik jika setiap selesai dua rakaat solat tahajjud baju makcik basah dengan air mata?perlukah makcik menukar pakaian itu?

Makcik juga masih mencari hati makcik yang telah lama makcik kehilangannya ,adakah anak menjumpainya ?

“Saya terduduk disitu menahan sebab dengan soalan yang diajukan kepada saya”.ustazah mula sedih.

"Lihatlah hadirat sekalian orang yang beramal dengan ilmu sungguh mulia disisi ALLAH.namanya dikenali oleh penduduk langit walaupun asing bagi penduduk bumi".

"Terlalu susah untuk menjadi orang-orang seperti itu.Jadi kita mohon supaya ALLAH menganugerahkan hati yang ikhlas dan beramal dengan panduan yang ditunjukkan oleh Nabi Salallahu Alaihi Wasallam".

Begitu permulaan majlis yang membuatkan kebanyakan para ibu dan remaja termasuk Maria mengalirkan air mata.Ustazah Lainajufah sungguh pandai mendidik hati para hadirat dari segi tasawuf bukan sahaja fiqh.Pada hari pertama itu,kami telah menghabiskan tiga bab dari permasalahan wanita dari bab thaharah(kesucian).Setiap permasalahan dirungkai secara mendalam dan penuh ilmiah oleh Ustazah Lainajufah.Sungguh beruntung suaminya dan Imam Idris yang memiliki puteri sepertinya.

Bersambung insyaALLAH

Yang Faqir kepada pengampunan ALLAH…





Jumat, 13 Agustus 2010

LAINAJUFAH SANG PURDAH BIRU PART (4)

Sebelum saya mengakhiri perbincangan ringkas ini, saya ingin bincang satu perkara yang kita tersalah faham berkenaan dengan waktu imsak.Sebenarnya tidak ada di dalam Sunnah Nabi Salallahu Alaihi Wassalam menetapkan 10 atau 15 minit tidak boleh bersahur sebelum masuk waktu subuh.Bahkan didalam kitab-kitab mu’tabar Mazhab Imam Syafie dan Mazhab yang lainnya tidak pernah dibicarakan masalah ini.Didalam surah Al-baqarah ayat 187 ALLAH berfirman yang bermaksud:{MAKAN DAN MINUMLAH HINGGA JELAS BAGI KAMU PERBEZAAN BENANG PUTIH DAN BENANG HITAM MASUK WAKTU FAJAR}.
Imam Thabari membawa satu hadis yang shahih sanadnya berkenaan sebab ayat ini diturunkan. Daripada Abdul Rahman bin Laila katanya{Adalah mereka(sahabah) apabila berpuasa dan tidur salah seorang daripada mereka maka tidak akan makan sehingga waktu siang(masuk waktu subuh),Maka telah datang kepada mereka seorang lelaki daripada Ansar makan dan minum sebelum tidur dan pada keesokkan harinya beliau bekerja dengan penuh tenaga maka turunlah ayat tadi.Maka hadis Ini jelas bahawa kita disunnahkan bersahur walaupun hampir masuk waktu subuh.
Di dalam hadis shahih riwayat muslim ketika seseorang membawa berita kepada Saidatina ‘Aisyah bahawa Abdullah bin Mas’ud menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur maka kata Saidatina ‘Aisyah:”begitulah Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam melakukannya”.
Begitu juga hadis Shahih daripada Anas bin Malik yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim:Adalah Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam bersahur bersama Zaid bin Sabit.Ketika sebaik sahaja habis sahur mereka, Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam Bangun dan terus bersolat. Kami bertanya kepada Anas bin Malik”berapakah kadar waktu daripada sahur sehingga masuk waktu solat subuh?..Anas bin Malik Berkata”Kira-kira seorang lelaki membaca lima puluh Ayat Al-quran”.
Tidak salah untuk kita ihthiyat(berjaga-jaga) takut bersahur sehingga masuk waktu subuh. Akan tetapi, rugilah kita meninggalkan Sunnah melambatkan sahur.
Begitulah aku mengakhiri tazkirah pendek sambil menunggu waktu ‘isyak bersama jamaah pada malam ke-14 Ramadhan itu.

Setelah tugasku kepada ALLAH selesai dan para jemaah semakin beransur-ansur kurang meninggal masjid,aku bergegas keluar masjid mencari kereta Abi.Tapi malangnya ia tidak kelihatan di tempat kebiasannya Abi meletakkan kereta.Di tengah kesesakkan jemaah itu muncul Maria tercegang di hadapanku seperti seorang yang kehilangan anaknya.
”Abi dah baliklah,kita kena jalan kaki lagi la macam ni”Maria bersuara dengan nada yang kecewa.”jangan macam ni Maria,kita balik jalan kaki takpe lah,lagipun abang dan lama tidak menghayati keindahan waktu malam di kampung kita ni”aku meyakinkan Maria.
”emm kalau macam tu takpe lah,jalan kaki tak sampai pun satu kilometer ke rumah kita”Maria pasrah.

Ketika sedang berjalan mengatur langkah sambil disirami cahaya lampu jalan itu,tiba-tiba sebuah kereta menghampiri kami lalu berhenti.”ha Akram dan Maria kenapa jalan kaki ni?”.
Dengan bantuan cahaya lampu jalan yang samar-samar itu, aku mencari milik siapakah suara yang menyapa kami sebentar tadi.Rupa-rupanya suara itu datang dari Imam Idris yang merupakan tuan punya kereta itu.”Motor rosak la pak Imam,nak naik dengan Abi tadi tapi tak sempat pula”aku menjawab.”kalau macam tu marilah naik kereta ni”Imam Idris mempelawa.
” tak apalah pak Imam lagipun dah dekat ni”Maria mencelah.
kalau macam tu baiklah jalan kaki tu hati-hati ye”Imam Idris menjawab.Lalu Imam Idris meneruskan perjalanan meninggalkan kami.
“Siapa Wanita berpurdah biru yang duduk di bahagian belakang kereta pak Imam tadi tu Maria?’’Soalku ingin tahu.
”Ha yang tu lah puteri Imam Idris yang baru sampai,namanya Ustazah lainajufah.Dia tu baru balik dari Universiti Ummu Al-Qura dua hari lepas.Lagipun Ustazah tu hafizah dan pakar dalam Fiqh empat mazhab.kalau tak silap maria esok pukul 9 pagi sampai waktu zohor dia ada buat kelas di masjid mengajar fiqh wanita dan puasa”Maria menerangkan dengan panjang lebar.
”Oh macam tu” jawabku ringkas.”kalau Maria nak pergi kelas tu esok boleh abang?”Maria Menyoal.
Eh pergilah bagus tu,lagipun bukan ada ustazah di kampung kita ni yang mengajar fiqh wanita.tapi kena minta kebenaran Abi dan Ummi dulu”aku menjawab.

Selang beberapa minit kemudian,kami telah pun sampai di halaman rumah,lalu kunci pendua aku gunakan untuk membuka pintu sambil memberi salam.Dari dalam rumah terdengar suara Ummi dan Abi menjawab salam sambil sedang duduk menunggu kami di ruang tamu.
”ha kenapa balik lewat ni”Ummi menyoal.”Tadi lepas Abi dan Ummi pergi Masjid saya dan adik nak naik motor tu,tapi tak boleh nak hidupkan.Lepas habis tarawikh tadi ingat nak balik dengan Abi dan Ummi,tapi terlepas sebab Abi dan Ummi dah balik dulu” terangku jujur.
”La kenapa tak mesej Abi tadi?”.Abi menambah.”kami tinggal handset tadi”Aku dan Maria menjawab dengan nada yang sama.
”em kalau macam tu, esok Abi hantar ke kedai motor tu” Abi memberikan saranan.”emm Abi kalau Maria nak pergi kelas Ustazah Lainajufah yang mengajar fiqh wanita dan puasa di masjid pukul 9 pagi esok boleh ”?Maria tiba-tiba bersuara.
”Puteri Imam Idris tu ye?,Ummi nak pergi juga boleh Abi?”Ummi Mencelah.”ha pergilah,abi tak larang pun”Abi menjawab ringkas."baiklah Abi, Ummi kami masuk tidur dulu.Assalamualaikum"

Begitulah Abi yang tidak pernah lekang memberi kami sekeluarga kebenaran memanfaatkan ilmu.Aku teringat kata-kata Abi sewaktu sebelum aku berangkat ke Mesir dahulu”kamu Ingat Akram!!, Ilmu Itu Adalah perkataan ALLAH,perkataan Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam dan Perkataan Sahabah.Jadi tuntutlah Ilmu daripada Ulama yang berdiri teguh diatasnya….

WALLAHU’ALAM
Bersambung di bulan Ramadhan yang mulia

Yang Faqir kepada Pengampunan ALLAH.

Minggu, 25 Juli 2010

LAINAJUFAH SANG PURDAH BIRU PART (3)

“Abang kat mana tu”panggil maria..”dekat dapur ni tolong ummi memasak untuk berbuka nanti” Maria menerpa ke arahku seperti ada sesuatu yang penting ingin disampakan.
“ni ada surat untuk abang”.“Ha Akram bukalah surat tu” tegur ummi yang sedari tadi ekor matanya memerhatikan gelagat kami berdua. “emm..surat temuduga Jabatan Mufti negeri Kelantan yang Akram pohon tempoh hari”."oh yang tu..habis bila temuduga ?"Ummi menyoal lagi.
“ kalau ikutkan surat ni seminggu lepas raya Ummi”…“baguslah macamtu ummi doakan kamu berjaya insyaALLAH".

Hari ini merupakan hari ke-13 Ramadhan,Sedar tidak sedar sudah hampir separuh bulan umat islam menyambut Ramadhan yang dijanjikan oleh ALLAH dengan pahala yang berlipat ganda kepada sesiapa yang dikehendakkiNYA.
Pada malam ini aku dan Maria sahaja yang berada di perpustakaan mini milik keluarga kami.Ummi dan Abi dah berehat di bilik mereka semenjak pulang dari solat tarawikh sebentar tadi.Mungkin mereka penat kerana membersihkan sekitar rumah petang tadi agaknya. “Ha Maria tahun ni berapa pasang tempah baju raya? ” tegurku. ‘’eh abang ni mana ada tempah,Maria pakai baju tahun lepas je’’.’’emm ye la tu…tapi kalau abang tanya satu soalan boleh tak ?’’. ’’macam penting sangat je nampaknya’’tambah maria sambil melirikkan matanya ke arahku.
"macam ni.. sejak bila adik abang ni mula pakai purdah ?setahu abang masa Maria kecil dulu nak lekat tudung pun susah kan ?. ’’susah juga nak jawab soalan tu bang,ALLAH yang beri kekuatan untuk maria pakai purdah tu. Sebenarnya Maria mula pakai purdah ni semenjak membaca kitab Jami’ Ahkam Nissa oleh sheikh Mustafa Al-‘adawee.walaupun jumhur ulama mengatakan sekadar sunnah tapi bagi Maria walaupun sunnah ia merupakan pakej pelenggap bagi seorang muslimah dan yang paling penting hati juga mesti bepurdah abangkan ?’’. ’’em.. betul tu, memang abang tak sangka adik abang ni memang pandai,abang tak kisah asalkan menutup aurat mengikut kehendak syariat’’.

’’ Abang ..betul ke ada hadis tentang awal ramadhan rahmat,pertengahan ramadhan tu adalah pengampunan,dan akhirnya pembebasan dari api neraka ??’’Soal Maria. ’’entah abang tak tau laa’’.jawabku.
’’alah abang tu selalu macam tu maria tak nak kawan la abang’’Maria merengek manja.’’Ye laa…merajuk je dia…sebenarnya macam ni, hadis tu dihukum mungkar oleh Imam Ibnu ‘Adi dan Imam Al-‘uqaili di dalam sanadnya terdapat terdapat Sulaiman bin Siwar dan dihukum Matrukul hadis dan Mungkarul hadis oleh Imam Abu Hatim dan Imam Ibnu ‘Adi.kalau Maria nak tengok perbahasan secara mendalam lagi tentang hadis ni boleh bukak kitab Kamil fi Al-du’afa oleh Imam Ibnu ‘Adi dan Al-du’afa Al-kabir oleh Imam Al-uqaili.
’’wah !! macam mana abang boleh Ingat perbahasan tu ??’’.’’sebenarnya macam ni Maria…seluruh muhaddis selain sering bermuamalah dengan hadis,mereka juga pakar dalam Ilmu ‘Ilal yaitu kecacatan pada hadis dan yang paling penting setiap inci hadis shahih yang mereka temui akan diamalkan tanpa bangkangan lalu disebabkan itu mereka akan ingat sesuatu hadis itu nombor berapa,dalam kitab apa,perbahasannya dan lain-lain"
. ’’ooo.. baru Maria faham kenapa muhaddis ni begitu luar biasa semangat mereka,jadi abang pun nak jadi muhaddis la ye ??’’.’’eh takde lah…siapalah abang ni sering bermaksiat kepada ALLAH macam mana nak ingat hafaz hadis’’.
’’emm dah lewat ni nanti kalau ada masa kita sembang lagi ye ??’’baiklah…abang tu jangan tidur lewat pula dan jangan lupa amalkan sunnah sebelum tidur,Maria masuk bilik dulu ye..Assalamualaikum

Begitulah berakhirnya perbualan kami pada malam itu.Sikap Maria yang tidak pernah jemu bertanya dan berbincang membuatkan aku kagum akan semangatnya.Bukan mudah untuk mendidik seorang wanita benar-benar cintakan ilmu dan mengikut syariat agama,tambahan pula pada zaman yang amat mencabar ini.
Dalam bab aurat contohnya,seringkali wanita mengabaikannya.Apa gunanya kalau permata yang telah berkurun lama tersimpan didedahkan secara percuma kepada orang yang tidak sepatutnya dalam sekelip mata.
Aku teringat sewaktu berada di Mesir dahulu, fesyen wanita-wanitanya yang memakai tudung sambil menonjolkan tocang rambutnya seperti bonggol unta yang jelas dilarang syariat.Dan paling sedih, yang sering berpakaian sedemikian adalah mereka yang belajar ilmu agama.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam bersabda :(Ada dua golongan penghuni neraka yang belum pernah aku lihat keduanya iaitu suatu kaum yang memegang cemeti(pemukul) untuk memukul manusia dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi terlanjang,berjalan belenggang-lengok dan kepalanya dicondongkan seperti bonggol unta yang condong,mereka itu tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium bau syurga sedangkan baunya tercium melalui jarak perjalanan sebegini dan sebegini:)
Kita doakan mereka mendapat hidayah dan kita yang diberi hidayah ini mohon pada ALLAH agar dipeliharaNYA...Ameen..

Bersambung
InsyaALLAH……..

Jumat, 23 Juli 2010

AKU DAMBAKAN MEREKA SEPERTINYA......


Aku dambakan mereka(wahai seluruh wanita) sepertinya……

Tidak pernah jemu menyelesaikan persoalan ummat
Mendasari sesuatu kepada Al-quran dan As-sunnah bukan sekadar pendapat

Aku dambakan mereka(wahai seluruh wanita) sepertinya…..

Serikandi islam yang memahami segala ilmu yang tersurat dan tersirat
Mengemudi bahtera risalah Tuhannya tanpa mengenal penat

Aku dambakan mereka (wahai seluruh wanita)sepertinya…..

Akhlak yang menjadi sanjungan timur dan barat
Menelusuri sesuatu kekeliruan dengan penuh hikmat

Aku dambakan mereka (wahai seluruh wanita)sepertinya….

Menjadi perintis jalan menuju akhirat
Jasamu dikenang sehingga tiupan sangkakala penanda qiamat

Dikaulah
Al-muhadissah,As-syairah,Al-faqihah,Al-thabibah
Saidatina ‘Aisyah Al-humaira binti Abu Bakar As-siddiq...

Terlalu banyak sumbangan Saidatina ‘Aisyah kepada dunia Islam.Beliau juga dapat menguasai keseluruhan ilmu islam,hal ini terbukti lagi apabila beliau menjadi rujukan ummat di bidang fatwa fiqh,hadis,kedoktoran,syair dan lain-lagi selepas kewafatan Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam.Beliau paling menonjol di bidang hadis dan meriwayatkan sebanyak 2210 hadis.Dan tidak hairanlah jika terdapat kelainan diantara riwayat Saidatina ‘Aisyah dan sahabah. InsyaALLAH artikel kali ini kita akan lihat beberapa kontradik riwayat saidatina ‘Aisyah dan sahabah secara umum.

1).Hadis berkaitan terbatalnya solat apabila lalu wanita,anjing,dan keldai dihadapan seseorang yang sedang bersolat:

Sahabah yang meriwayatkan:
a).Daripada sahabah Abi hurairah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam bab apa yang mudah bagi seseorang yang sedang bersolat hadis nombor 1167.
b).Daripada Sahabah Abu Zarr yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam bab yang sama hadis nombor 1165.
c).Daripada Ibnu ‘Abbas yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dalam bab apa yang membatalkan solat hadis nombor 703.

Saidatina ‘Aisyah yang meriwayatkan:
“Demi ALLAH sesungguhnya telah aku lihat Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam bersolat,dan aku berada di atas katil antaranya dan qiblat”.

a).Daripada Saidatina ‘Aisyah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam bab tidak terbatal solat akan sesuatu hadis nombor 514 dan juga diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam bab apa yang terdedah di antara orang yang bersolat hadis nombor 1143.

Penyelesaian :
Disebutkan di dalam kitab Al-deebaj syarah Shahih Muslim oleh Imam As-shuyuthi yang di tahqiq oleh sheikh Abu Ishaq Al huwaini juzuk 2 muka surat 192:
Berkata jumhur ulama bahawa tidak batal solat dengan lalunya wanita,anjing,keldai.yang dimaksudkan dengan terputus(terbatal) solat di sini adalah terputus ke khusu’kan di dalam solat kerana tumpuan ketika solat tergangu dengan lalunya wanita,anjing dan keldai.

2).Puasa nabi pada hari 10 zul hijjah(hari ‘Asyura).

Sahabah yang meriwayatkan :
a).Daripada Hunaidah bin Khalid daripada sebahagian isteri nabi yang diriwayatkan oleh Imam Abu dawud dalam bab puasa hari ‘Asyura hadis nombor 2437 dan juga Imam An-nasai dalam bab bagaimana berpuasa tiga hari setiap bulan hadis nombor 2419.

Saidatina ‘aisyah meriwayatkan :
‘Aku tidak pernah melihat Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam berpuasa pada hari ‘Asyura walau sekali’
a).Daripada ‘Aisyah dirawatkan oleh Imam Muslim dalam bab puasa hari ‘Asyura hadis nombor 2789,diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dalam bab Fithr ‘Asyura hadis nombor 2439,diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dalam bab puasa ‘Asyura hadis nombor 756,dirawatkan oleh Imam Ibnu majjah dalam bab puasa ‘Asyura hadis nombor 1729.
Penyelesaian :
Saidatina ‘Aisyah barangkali tidak mengetahui puasa nabi pada hari itu kerana nabi membahagi hari-hari tertentu kepada setiap isterinya dengan adil lalu mungkin nabi berada di rumah isterinya yang lain sewaktu berpuasa pada hari ‘Asyura.Di dalam masalah ini hadis yang mengsabitkn lebih diutamakan daripada hadis nafi.apabila sama shahih hadis ini maka hadis Hunaidah adalah lebih utama untuk diambil tetapi tidak menjatuh martabat hadis Saidatina ‘Aisyah.Di dalam Kitab Syarah Shahih Muslim oleh Imam Nawawi jilid 8 muka surat 71 berkata Ulama :hadis ini menandakan larangan berpuasa pada hari 10 zul hijjah dan maksud 10 zul hijjah di sini adalah hari ke sembilan daripada awal bulan zulhijjah.dan ini apa yang mereka tafsirkan.


3).Istinjak dengan tidak menggunakan air:

Sahabah meriwayatkan:
a).Daripada Huzaifah yang diriwayat oleh Imam Ibnu Abi Syaibahjilid 1 hadis nombor 1620.
Saidatina ‘Aisyah meriwayatkan:
“sesungguhnya Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam beristinjak dengan menggunakan air”
a).Daripada Saidatina ‘Aisyah yang diwaratkan oleh Imam Ahmad hadis nombor 24623.

Penyelesaian:
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam bab Istinjak menggunakan Air hadis nombor 150,diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam bab yang sama hadis nombor 619 menyatakan bahawa Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam beristinjak dengan menggunakan air dan menggunakan benda lain di dalam keadaan darurat dan untuk meluaskan konsep thaharah.

p/s: Terdapat banyak lagi riwayat Saidatina ‘Aisyah yang menyelisihi Sahabah,akan tetapi masalah Ini dipandang sesuatu yang istimewa di bidang hadis.Kehebatan dan keasyikkan bersama hadis ini tidak akan dapat dirasai melainkan mereka yang dikurniakan kelebihan oleh ALLAH di dalam bidang ini.Bukan mudah untuk menjaga hadis-hadis nabi,tambahan pula di zaman ini telah muncul mereka yang berhasad dengki serta bermudahan mengkritik Ulama hadis terdahulu Tanpa ilmu dan kajian yang mendalam.

WALLAHU'ALAM
Yang faqir kepada pengampunan ALLAH.